Minggu, 22 Desember 2013

Haiyan Ragut Lebih 100 Nyawa


Manila – Satu daripada ribut terkuat pernah direkodkan di dunia membunuh lebih 100 orang dan mencederakan 100 yang lain di tengah Filipina sebelum ia bertiup ke arah Vietnam semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, John Andrews berkata, dia menerima “maklumat boleh dipercayai” daripada kakitangannya menyifatkan kematian dan kemusnahan akibat Taufan Haiyan melanda bandar Tacloban di Pulau Leyte kelmarin.

Andrews memberitahu, lebih 100 mayat bergelimpangan di jalan raya dan 100 lagi mangsa cedera.
Menurutnya, pihak berkuasa penerbangan di Tacloban, kira-kira 580 kilometer di barat daya Manila, melaporkan yang terminal lapangan terbang di tepi laut ‘rosak’ akibat ribut. Mesej radio ke Manila disampaikan melalui lapangan terbang lain di tengah Filipina setiap lima jam bagi menyimpan kuasa bateri radio.

Setiausaha Kabinet Rene Almendras yang juga pembantu kanan kepada Presiden Benigno Aquino III berkata, bilangan mangsa yang terkorban tidak dapat disahkan setakat ini tetapi ia “mungkin mencecah bilangan” yang diberikan Andrews.

“Tentera turut membantu mencari mayat mangsa,” katanya. Pegawai tentera Amerika Syarikat Mike Wyle yang meninjau kerosakan di Tacloban bagi membolehkan Amerika Syarikat menghulurkan berkata, kerosakan di landasan lapangan terbang amat ketara. Pesawat tentera bagaimanapun masih dapat mendarat bagi menyalurkan bantuan kecemasan.

“Ribut melanda amat kuat dan terdapat kerosakan struktur yang ketara, selain pokok turut tercabut dan diterbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Stesen televisyen Filipina, GMA melaporkan pasukan beritanya menyaksikan 11 mayat, termasuk seorang kanak-kanak yang dihanyutkan di pantai Jumaat dan lebih 20 mayat di pelabuhan di Tacloban beberapa jam selepas taufan meranapkan bandar tepi pantai itu. Sekurang-kurangnya 20 lagi mayat dibawa ke sebuah gereja berdekatan bandar Palo yang digunakan sebagai pusat pemindahan tetapi terpaksa ditinggalkan apabila bumbungnya diterbangkan.

Hampir 80,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan kerosakan dipercayai amat besar. Kira-kira empat juta penduduk terjejas oleh taufan itu. – AFP

Tidak ada komentar:

Posting Komentar