Tampilkan postingan dengan label sebelum. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label sebelum. Tampilkan semua postingan
Selasa, 18 Februari 2014
Buka Mata Sebelum Organ Badan Dikeluarkan
SELANGKAH dari maut. Itu yang dialami seorang wanita, Colleen S. Burns of North Syracuse, 41, selepas dia membuka mata beberapa minit sebelum doktor menjalankan pembedahan mengeluarkan organ badannya, kerana menyangka dia mengalami mati otak.
Dia dimasukkan ke hospital pada 2009 akibat pengambilan dadah berlebihan.
Namun akibat kecuaian dalam penilaian mengenai tahap kesihatannya, doktor percaya Collen telah meninggal dunia dan mula menjalankan proses pendermaan organ.
Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan mendapati ketika mula-mula dimasukkan ke hospital, doktor telah terlepas pandang terhadap rawatan susulan iaitu menghalang dadah yang diambilnya itu daripada diserap oleh usus.
Pasukan perubatan juga gagal menjalankan imbasan otak dengan sempurna dan membuat kesimpulan dia mengalami mati otak, walaupun pada hakikatnya Colleen mengalami koma akibat pengambilan dadah berlebihan.
Selepas mengesahkan dia mengalami mati otak, keluarganya bersetuju menderma organ Colleen namun sehari sebelum pembedahan, ujian refleksi yang dijalankan oleh jururawat menunjukkan dia memberikan tindak balas, namun ia tidak diendahkan oleh doktor.
Bukan itu sahaja malah ketika dibawa ke bilik bedah, dia bernafas sendiri manakala bibir dan lidahnya juga bergerak.
Colleen bernasib baik apabila dia membuka mata ketika doktor hampir memulakan proses pembedahan itu.
Biarpun dia diberikan ubat pelali, namun ubat tersebut tidak direkodkan dalam prosedur tersebut sehinggalah apabila Colleen membuka mata, barulah pembedahan itu dibatalkan.
Malangnya selepas enam bulan kejadian itu berlaku, Colleen akhirnya menemui ajal selepas membunuh diri.
Menurut ibunya, Lucille Kuss, anaknya itu berbuat demikian bukan disebabkan dia kecewa dengan kejadian tersebut sebaliknya Colleen menganggap kehidupannya tiada erti lagi.
“Dia mengalami kemurungan dan kejadian itu tidak memberikan sebarang perbezaan kepadanya,’’ kata.
Senin, 23 Desember 2013
Dr Asri Kepada Abby Ilmu Agama Penting Sebelum Memberi Pandangan…
KUALA LUMPUR – Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan penyanyi dan pelakon, Abby Abadi mengkritiknya berhubung soal agama dalam twitter sebagai kebudak-budakan, selain tidak memahami secara mendalam maksud komennya menerusi laman sosial itu.
Dr Mohd Asri yang juga pensyarah Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia (USM), ahli Majlis Agama Islam Perlis dan Fellow OCIS di Universiti Oxford berkata, menuntut ilmu agama penting sebelum memberi pandangan kepada orang lain.
“Apabila seseorang itu tidak belajar banyak mengenai agama, dia tidak dapat membezakan orang yang mempertikai hukum Tuhan dengan pendapat manusia. Abby menganggap pendapat manusia itu adalah mempertikai hukum Tuhan.
“Apakah seseorang yang ingin menjadi ilmuwan dan ulama hanya mengambil masa sehari untuk belajar agama. Justeru, mereka yang berhijrah seperti artis dialu-alukan tetapi jangan lupa, ilmu agama bukan hanya pada semangat tetapi mendalaminya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad semalam.
Pada 29 Ogos lalu, Abby memberi komen terhadap kenyataan Dr Asri yang menulis: “Apakah satu keadilan jika dua orang yang terlibat dengan kecurian, seorang dipotong tangan sedangkan seorang lagi dipenjara kerana berbeza agama?”
Abby kemudian mencelah, “Maafkan saya Dr, Hudud hukum Allah. Dr belajar tinggi tetapi kenapa masih persoalkan? Tanggungjawab kita berat di dunia tapi manis di sana.”
Komen Abby kemudian dijawab Dr Mohd Asri yang mengatakan: “Seseorang yang kembali kepada agama dan dijemput ceramah tidak bererti dia benar-benar faham Islam. Teliti sebelum komen.”
Sementara itu, Abby ketika dihubungi Metro Ahad semalam berkata, komennya dalam laman sosial itu adalah pandangan peribadinya yang tidak berniat menghentam atau memaki penceramah itu.
“Tidak payah cakap soal hudud tapi dalam Islam, apa saja yang tertulis dalam al-Quran dan sunnah tidak boleh dibincang atau dipersoalkan. Saya akui tidak pandai agama, tetapi saya faham maksud dalam twitter dia.
“Sepatutnya, kena dengar suara jemaah apa yang perlu dibuat tanpa mempersoalkan hukum Tuhan. Saya faham komennya secara asas dan terdetik mengapa dia berpelajaran tinggi tetapi mempersoalkannya.
“Saya hormat dia kerana belajar tinggi dalam bidang agama tetapi saya tetap dengan pendirian saya, apa saja yang tertulis dalam al-Quran dan sunnah tidak boleh dipersoal,” katanya.
Menurut Abby, ada segelintir pihak menyebelahinya kerana mereka faham, namun dia tetap menghormati setiap pandangan orang lain.
Katanya, dia mahu berbaik dengan ramai pihak, termasuk individu bergelar ustaz. Selepas berhijrah dengan imej bertudung sejak pulang umrah pertengahan Mac lalu, dia mengakui menerima banyak jemputan menghadiri majlis keagamaan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Memang tak menang tangan dan saya pun tidak sangka atas jemputan diterima. Apapun, saya tahu kemampuan sendiri walaupun ada yang mengharapkan sesuatu yang lebih daripada saya.
“Sebagai sahabat, saya bukan mahu mengajar tetapi berkongsi pengalaman dan pandangan. Saya akui memang dilahirkan Islam tetapi apabila tidak faham dan mengikut perintah Tuhan, orang panggil jahil,” katanya. - MyNewsHub
Langganan:
Postingan (Atom)