Selasa, 04 Februari 2014

Pelanggan tetap sahaja dibenar masuk

Anggota penguatkuasa mengenakan tindakan rampasan peralatan di premis pusat siber yang diserbu.

SUBANG JAYA – Sebuah pusat siber di USJ 1 menggunakan pintu besi automatik dan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk ke premis sebagai modus operandi mereka bagi mengelakkan aktiviti perjudian dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik lapuk terbabit gagal mengabui mata anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang menyerbu tiga premis kelmarin.
Pemeriksaan mendapati, pemilik menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menawarkan aktiviti perjudian dalam premis pusat siber tersebut.

Hasil daripada siasatan dijalankan juga mendapati pengusaha premis menggajikan pekerja warga asing sebagai penjaga di kaunter bayaran.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, kesemua premis dilengkapi CCTV dan pintu besi dipercayai bagi menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan.

Menurutnya, pengusaha juga menggunakan pintu kecil di bahagian tepi premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sebanyak  93 set komputer dan beberapa peralatan digunakan untuk aktiviti perjudian dirampas manakala  premis disita di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007.

Pengusaha berdepan denda maksimum RM1,000.

Mohd Rasip berkata, sebelum ini pihaknya turut mengenakan tindakan ke atas sebuah premis pusat siber berunsur perjudian di Kompleks Puchong Perdana.

Premis dipercayai baru beroperasi lebih kurang sebulan lalu menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada MPSJ.

“Anggota penguatkuasa akan menjalankan operasi dari masa ke semasa,”katanya. - SinarOnline

Tidak ada komentar:

Posting Komentar